Suresh terlepas pingat gangsa - Utusan Malaysia

Suresh terlepas pingat gangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Impian juara Para Dunia 2019, S. Suresh untuk menambah koleksi pingat lebur apabila tewas mengejut dalam saingan penentuan pingat gangsa acara recurve individu lelaki pada Kejohanan Memanah Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Atlet berusia 25 tahun itu terpaksa tunduk kepada pemanah dari Sarawak, Bryson Ting Tiew Luing dengan keputusan 4-6.

“Sangat tidak puas hati. Permainan saya banyak terganggu kerana gagal membaca tiupan angin. Jadi saya perlu berusaha lebih lagi pada masa depan memandangkan ini kali pertama menyertai kejohanan kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atlet kelahiran Kuala Ketil, Kedah itu, berkata ‘ketempangannya’ dalam aksi, hari ini juga disebabkan kekurangan kejohanan dan latihan.

“Sejak menang gelaran juara para dunia di Belanda awal bulan lalu, memang saya tak ada kejohanan lain. Ini sedikit membuatkan persembahan saya tidak berada pada tahap sepatutnya,” katanya.

Pun begitu, Suresh tetap positif dengan sasarannya ke Kejohanan Para Asia di Bangkok pada Oktober ini dan sasarannya ialah membantu pasukan untuk mara ke separuh akhir.

Sementara itu, Tengku Wira Raja Yahya menewaskan rakan sepasukan, Zainudin Abdul Rashid untuk meraih pingat emas acara recurve individu lelaki. Terikat dengan kedudukan mata 5-5, Tengku Wira, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), muncul juara menerusi penentuan shoot-off dengan keputusan 9-8.

Bagi acara recurve individu wanita pula, pemanah Sarawak, Supang Yahya meraih pingat emas selepas menewaskan pemanah Kedah, Fatin Ezzatie Mohamad Noris 6-4.

“Pertama kali membawa nama Sarawak, sudah tentu kemenangan ini amat berharga. Memang mendebarkan memandangkan dia (Fatin Ezzatie) pernah menjadi rakan pasukan pelapis sebelum ini,” kata pemanah berusia 18 tahun itu. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini