Pengadil luar beri impak positif - Utusan Malaysia

Pengadil luar beri impak positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mutu pengadilan oleh pengadil luar negara dalam perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi, mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak.

Rata-rata peminat bola sepak negara dan pegawai, termasuk netizen dilihat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh pengadil dari Jepun, Takuto Okabe, 38, serta dua penolongnya, Yagi Akane, 45, dan Nomura Osamu, 30.

Perkara ini turut diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md. Dali Wahid.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga pengadil ini yang dibawa khas dari Jepun. Saya pun ada mendapat maklum balas baik mengenai prestasi mereka dan majoriti, termasuk pegawai Persatuan Bola Sepak malaysia (FAM) berpuas hati dengan prestasi mereka.

“Secara peribadi, saya rasa beliau tenang, mempunyai karisma, tidak panik dan mempunyai prinsip pengadilan yang baik. Keputusan yang dibuat dan cara beliau menangani situasi sukar juga tidak membuat pemain marah.

“Ia menjadi cabaran dan contoh kepada pengadil kita (Malaysia) untuk mendapatkan sedikit ilmu mengenai apa yang ditunjukkan oleh pengadil ini.

“Saya tidak katakan pengadil kita tidak berkualiti, tetapi kita sempat mempelajari atau berkongsi pengetahuan dengan cara beliau mengendalikan perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk menggunakan pengadil luar negara buat kali pertama dalam saingan domestik berikutan isu mutu pengadil tempatan, termasuk pada final Piala Malaysia di antara Terengganu dan Perak.

Pada aksi malam tadi, Kedah menyamai rekod Selangor sebagai pasukan paling berjaya dalam saingan Piala FA selepas meraih gelaran kelima menerusi jaringan tunggal pemain gantian, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105.

Okabe adalah pengadil utama saingan J1 League yang telah menjadi pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak tahun 2015 dengan pengalaman mengadili perlawanan Liga Juara-juara AFC dan Piala AFC dari 2016, Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 di Korea Selatan, Universiade 2017 di Taiwan serta Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Md. Dali turut menegaskan bahawa Malaysia juga mempunyai pengadil-pengadil yang berkualiti baik, di mana pengadil Malaysia sentiasa mendapat panggilan untuk mengendalikan perlawanan di peringkat Asia.

Sementara itu, beliau enggan mengulas sama ada khidmat pengadil import sekali lagi akan menjadi pilihan pihaknya untuk mengadili final Piala Malaysia 2019, dengan kempen musim ini bakal membuka tirai bermula 2 Ogos ini.

“Kita ada seramai 22 pengadil dan penolong pengadil untuk saingan Piala Malaysia. Mereka baru sahaja menghadiri kursus pada minggu lalu untuk penambahbaikan prestasi mereka,” katanya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini