ALOR SETAR – Jaringan tunggal Mohd. Fadzrul Danel Mohd. Nizam yang hadir seminit selepas dia dimasukkan dalam perlawanan akhir Piala FA, sekali gus mengesahkan gelaran juara merupakan kenangan paling indah buat pemain tengah Lang Merah itu, semalam.
Bagi Mohd. Fadzrul, biarpun bukan kali pertama menjaringkan gol untuk pasukan negerinya, namun, saat bola melintasi garisan gol menewaskan penjaga gawang Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Syukur Alhamdulillah saya dapat menjaringkan gol yang seterusnya membantu pasukan menjulang Piala FA buat kali kelima untuk Kedah. Saya memang tidak menjangka dapat menjaringkan gol seawal itu, walaupun dari luar padang lagi saya berazam untuk melakukannya demi pasukan.
“Apatah lagi permainan kedua-dua pasukan, semalam agak seimbang dengan saling berbalas serangan, namun, kelebihan berpihak kepada kami ketika pemain Perak dilayangkan kad merah,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.
Aksi final itu menyaksikan pertembungan sengit dua gergasi dari Utara dengan kedua-dua pasukan menampilkan permainan berhati-hati sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan selepas 90 minit masa sebenar permainan berakhir dengan keputusan tanpa jaringan.
Kedah berjaya menambah koleksi gelaran juara Piala FA buat kali kelima selepas menjulangnya pada tahun 1996, 2007, 2008 dan 2017.
Fadzrul Danel, 21, yang pernah berkelana selama sebulan di Akademi Bawah 22 Tahun Cardiff City itu memberitahu, jaringan tersebut juga menambah keyakinan dan semangat untuknya terus meledak gol dalam saingan Piala Malaysia pula, selepas ini.
“Saya anggap ini sebagai permulaan karier yang masih panjang dan saya perlu lebih berusaha, menjalani latihan dan menajamkan penyudah demi kejayaan kepada pasukan,” katanya yang turut mengakui sukar melelapkan mata kerana terlalu gembira.
Ketika ditanya apa yang diungkapkan jurulatih, Aidil Sharin Sahak ketika dia mahu melangkah masuk, Mohd. Fadzrul berkata, jurulatihnya itu cuma meminta dia mengambil kesempatan terhadap lawan yang kekurangan pemain di samping tenaganya yang masih banyak.
“Beliau kata ini peluang saya, saya perlu membawa bola lebih banyak ke hadapan untuk memburu jaringan yang akan mengubah tempo perlawanan, selain menyemarakkan lagi semangat rakan sepasukan untuk menghabiskan sisa permainan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











