Kanak-kanak lelaki lemas di tasik - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lelaki lemas di tasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Julai – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Tasik Widuri, Bukit Beruntung, dekat sini hari ini.

Mayat mangsa Muhammad Ukail Raziq Waldan, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 4.43 petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Azman Ab. Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakan sekolahnya itu pergi mandi bersama di tasik berkenaan pada pukul 3 petang hari ini.

“Saksi yang juga rakan mangsa mendakwa mereka mandi di kawasan yang tidak dalam dan semasa di dalam air, mangsa ditolak dua rakan yang bergurau.

“Namun, saksi mendakwa mangsa kemudian didapati tidak timbul ke permukaan air selepas itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, pasukan penyelamat yang tiba di lokasi telah membawa mangsa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.

“Lokasi kejadian dilaporkan berlaku di tasik terbiar yang digunakan penduduk setempat sebagai kawasan rekreasi air,” ujarnya yang memaklumkan mangsa tinggal bersama bapa saudaranya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.26 petang dan 13 anggota termasuk daripada Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi.

“Operasi menyelamat segera dilakukan dan mayat mangsa ditemukan pada jarak 15 meter dari tebing tasik berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×