BUKIT MERTAJAM 28 JuIai – Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 11 kes samun di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah kedai kopi di Taman Usahaniaga, di sini semalam.
Dalam Op Cantas kira-kira pukul 5 petang itu, mereka yang ditahan masing-masing lelaki berusia 41; 34 dan 35 tahun yang kesemuanya mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkait kes jenayah dan dadah.
Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, tangkapan itu susulan laporan yang diterima polis berhubung kes seorang wanita warga emas berusia 70 tahun yang disamun di rumahnya di Bukit Tengah, di sini Jumaat lalu.
Kata beliau, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa sedang makan di dapur sebelum didatangi seorang lelaki yang meragut rantai lehernya yang bernilai kira-kira RM7,000.
“Suami mangsa yang sedang berkebun masuk ke dalam rumah selepas terdengar jeritan mangsa, namun ditolak sehingga pengsan sebelum suspek melarikan diri dengan sebuah kereta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes samun tersebut selain 11 daripada 13 kes yang dilaporkan di daerah SPT sejak Mei lalu.
Katanya, hasil penahanan tiga penjenayah itu, pihaknya menyerbu empat buah rumah di sekitar Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini semalam dan merampas pelbagai barang kes.
“Antara yang dirampas adalah enam keping surat pajak gadai; tiga buah telefon bimbit; pisau lipat; topi kaledar dan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan Proton Wira,” katanya.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











