TANPA disedari, ada tingkah laku dan tutur kata kita kadang kala menjadi sebab kepada tercetusnya perselisihan faham. Terkesan daripada perkara tersebut, tali persahabatan malah hubungan silaturahim menjadi renggang.

Jika tanpa sebarang usaha dilakukan bagi membaiki keretakan yang berlaku itu, pastinya hubungan kekeluargaan atau ukhuwah yang dibina selama ini terlerai biarpun sekadar salah faham kecil.
Sekiranya ego yang disiram dengan hasutan syaitan dipertahankan hanya kerana maruah, maka runtuhlah sebuah institusi kekeluargaan. Bergembiralah si syaitan apabila ‘jarumnya’ menjadi.
Menurut ijmak ulama, tindakan memutuskan hubungan silaturahim adalah termasuk antara dosa-dosa besar. Tidakkah kita takut dengan ancaman tersebut?
Untuk apa bersolat siang malam sekiranya hubungan sesama kaum kerabat atau jiran tetangga tunggang-langgang. Menjaga hubungan dengan Allah itu penting, maka sama penting juga menjaga hubungan sesama insan.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bukanlah orang yang menyambung (silaturahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.” – Riwayat Bukhari
Sejauh mana kita mampu berdiri dengan kaki sendiri? Mungkin hanya ketika senang atau kudrat belum dimamah usia, tapi bagaimana sekiranya dilanda musibah atau ditimpa ujian kesihatan?
Nak mati pun orang lain tolong tanamkan. Bukan boleh pun kita nak kambus sendiri kubur kita tu. Maka, fikir-fikirkanlah. Dunia ini bukan selamanya, sebaliknya akhirat kelak kekal abadi. Masuk syurga pun hanya kerana rahmat Allah, jadi buat apa nak berlagak. Tak begitu?











