Skuad futsal berdepan persaingan sengit - Utusan Malaysia

Skuad futsal berdepan persaingan sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Skuad futsal lelaki kebangsaan menerima tamparan hebat dalam usaha menempah slot ke Kejuaraan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020.

Ia berikutan skuad kendalian ketua jurulatih, Chiew Chun Yong itu dijangka berdepan tentangan sengit dalam saingan Kumpulan B Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2019 yang dijadual berlangsung di Vietnam, Oktober ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam entri Facebook, hari ini mengesahkan undian semula pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFF, Selasa lepas menyaksikan Malaysia yang merupakan naib juara edisi lalu diundi bersama juara 2010, Indonesia, Australia dan pasukan tuan rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saingan Kumpulan A pula menyaksikan juara 14 kali, Thailand tidak berdepan masalah mara ke pusingan separuh akhir apabila diundi bersama Myanmar, Timor-Leste dan Kemboja.

Kejohanan itu dijadikan sebagai pusingan Kelayakan Zon Asean bagi Kejuaraan Futsal AFC 2020 dengan empat pasukan terbaik layak beraksi secara automatik.

Sebagai rekod, pada edisi lepas Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 7-5 dalam saingan kumpulan sebelum mengatasi Vietnam 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir.

Kedudukan ranking dunia terkini menyaksikan Vietnam berada pada kedudukan ke-43 dunia, sementara Malaysia di ranking ke-54 dan Indonesia ke-55. Australia tiada di dalam sistem ranking selepas tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan melebihi 24 bulan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini