Makaf di bawah pimpinan beliau turut mendapat sokongan
KUALA LUMPUR – Bukan sahaja Mahkamah Tinggi Melaka bahkan Persekutuan Karate Asia (AKF) secara rasminya hanya mengiktiraf Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) pimpinan Tan Sri Mohd. Ali Rustam sebagai badan induk yang sah untuk mentadbir sukan itu di negara ini.
Mahkamah Tinggi Rabu lalu, memutuskan larangan terhadap Makaf baharu yang dibentuk di bawah kepemimpinan Datuk Clement Soo di Putrajaya pada 10 Julai lepas daripada menggunakan apa sahaja perkara yang berkaitan Makaf termasuk dalam sebarang liputan media.
Apa yang lebih menarik, Makaf turut mendapat khabar gembira sewaktu menghadiri Kongres AKF 2019 yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan, kelmarin apabila badan induk sukan karate Asia itu hanya mengiktiraf Makaf yang berada di bawah kepimpinan Mohd. Ali, selain beliau mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden AKF.
Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, larangan yang dikenakan ke atas kepimpinan Makaf baharu ialah meliputi menggunakan kepala surat rasmi Makaf, selain mereka juga tidak boleh membuat kenyataan kepada pihak media dan juga platform media sosial.
“Kami juga telah mendapatkan sokongan dalam Kongres AKF yang berlangsung di Tashkent untuk hanya mengiktiraf Makaf di bawah kepemimpinan Tan Sri Ali.
“Tan Sri Ali juga mempertahankan jawatan Naib Presiden AKF bagi penggal 2019-2023 dalam Kongres di Tashkent itu. Seorang daripada Timbalan Presiden Makaf kami, Vincent Chen pula dinaikkan pangkat daripada Pengurus Besar kepada Ketua Pegawai Eksekutif AKF,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Makaf baharu pimpinan Clement dibentuk menerusi mesyuarat agung dwitahunan di Putrajaya ekoran undi tidak percaya majoriti 12 daripada 22 ahli gabungan Makaf terhadap Mohd. Ali dan Exco terdahulu (2018-2021) pada mesyuarat agung luar biasa, 9 Jun lalu.
Makaf pimpinan Ali ditentang 12 ahli gabungan itu selepas kegagalan mereka menjalankan mesyuarat agung tidak lewat dari 31 Mac setiap tahun yang turut bertentangan dengan Artikel 9 (i) Perlembagaan Makaf.
Setiausaha Agung Makaf baharu, Thiagu Ponniyah berkata pada 14 Julai lalu, suara majoriti mereka yang membentuk Exco baharu 2019-2021 menjadikan Makaf asal tidak lagi sah untuk berurusan dengan pemegang taruh besar sukan seperti Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia mahupun mentadbir sukan karate negara.
Sebagai rekod, Ali menewaskan Clement, 57 berbalas 52 undi untuk mempertahankan jawatan Presiden Makaf dalam pemilihan 28 Oktober tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











