PETALING JAYA – Ketua jurulatih sementara skuad negara bawah 18 tahun (B-18) yang baru dilantik, Brad Maloney berharap dapat membantu pasukannya mengecapi kejayaan yang diimpikan.
Bercakap pada hari pertama beliau mengendalikan kem latihan di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Maloney menekankan pentingnya mengekalkan falsafah dan nilai-nilai yang diterapkan ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Datuk Ong Kim Swee dalam pasukannya.
Mempunyai ramai pemain berkebolehan dalam pasukan itu, Maloney yang juga penolong jurulatih skuad negara B-22 berkata beliau percaya matlamat itu akan dapat dicapai.
“Saya telah melihat ramai pemain ini bermain. Saya rasa ramai yang berbakat dan kita juga mempunyai ramai pemain daripada AMD (Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari). Adalah amat baik dan melegakan bagi seorang jurulatih untuk bekerjasama dengan bermain yang berkualiti.
“Kami cuba mewujudkan kesinambungan antara kumpulan umur ini dan seterusnya dan cuba bermain cara yang sama dan mempunyai nilai-nilai yang dan prinsip sama sebagai pemain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. – BERNAMA











