MPSJ sita tiga premis urut haram di Bandar Puteri Puchong - Utusan Malaysia

MPSJ sita tiga premis urut haram di Bandar Puteri Puchong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil tindakan penguatkuasaan dengan menutup dan menyita tiga premis urut haram yang dikendalikan tanpa lesen di sekitar Bandar Puteri, Puchong, Selangor pada 18 Julai lalu.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali dalam satu kenyataan berkata, operasi bersepadu bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang itu dilaksanakan berdasarkan hasil maklumat orang awam.

“Di dalam operasi ini, MPSJ terpaksa memecah masuk ke premis berikutan keengganan pemilik membuka pintu premis dan hasil pemeriksaan mendapati ke semua premis tidak mempunyai sebarang dokumen berkaitan dan melakukan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat pekerja wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut dan hasil siasatan telah menjumpai beberapa kondom yang belum digunakan dan ini membuktikan selain aktiviti urutan, premis ini juga ada menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan,” katanya.

Menurut Mohd. Zulkurnain, tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2013 iaitu mengendalikan pusat urut tanpa lesen dari MPSJ di bawah klausa tersebut denda maksimum sebanyak RM1,000 boleh dikenakan terhadap pemilik premis.

“Selain itu, tindakan memecah semua struktur sekatan dinding di dalam premis juga telah dikenakan di bawah Sek.79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu membuat sekatan dinding di dalam premis tanpa kebenaran MPSJ dan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM500,” katanya.

Beliau berkata, bagi tindakan di bawah klausa PDRM pula, seramai 12 orang wanita warga asing dan dua orang penjaga premis telah ditangkap daripada ketiga-tiga premis yang telah diperiksa.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Serdang untuk siasatan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini