MEKAH 20 Julai – Bagi jemaah haji Malaysia atau Indonesia, Jaafaria Souq merupakan pasar yang tidak akan ditinggalkan dalam senarai tempat mereka untuk membeli-belah barangan cenderamata untuk dibawa pulang ke tanah air.
Masakan tidak, pasar yang terletak kira-kira satu kilometer dari Masjidilharam itu menawarkan pelbagai barangan cenderamata yang boleh dibeli dengan harga murah jika bijak menawar atau membeli dalam kuantiti yang banyak.
Seperti juga di pusat borong di Tanah Abang, Jakarta atau Guangzhou, China, tentu soalan pertama akan keluar dari peniaga berapa banyak kuantiti yang akan dibeli sebaik sahaja harga barangan ditanya.
Kunjungan media Malaysia ke pusat borong itu mendapati harga barangan di pasar tersebut sememangnya jauh lebih murah jika dibeli dari kedai-kedai cenderamata yang terdapat di sekitar Masjidilharam.
Sebagai contoh, cenderamata berbentuk pelekat magnet untuk peti sejuk yang biasa dijual $3 riyal Saudi di kawasan Masjidilharam atau Madinah, boleh dibeli dengan harga separuh daripada itu jika dibeli dalam kuantiti satu dozen.
Barangan lain seperti jubah, sejadah, minyak wangi, koleksi antik barangan Arab dan sebagainya juga menjadi pilihan para jemaah apabila berkunjung di kawasan pasar ini.
Sejarah pasar Jaafaria bermula dari kawasan perniagaan Pasar Seng yang suatu ketika dahulu popular dalam kalangan jemaah tetapi terpaksa berpindah apabila kerja-kerja pembesaran masjid suci itu dijalankan.
Bagi jemaah Malaysia yang tinggal di Hotel Durrat Al-Sulaimaniyyah, sudah tentu Jaafaria Souq akan menjadi tempat persinggahan mereka setiap kali pulang dari Masjidilharam
Tahun ini, seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji dengan lebih 13,000 orang telah tiba di sini dan Madinah. – UTUSAN ONLINE











