DUNGUN 20 Julai – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjadikan kambing sebagai umpan untuk menangkap seekor lagi harimau yang dikatakan berkeliaran di Kampung Besol, Bukit Besi di sini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, haiwan itu ditempatkan dalam dua perangkap yang dipasang pihaknya untuk menarik perhatian si belang berkenaan.
Katanya, pemasangan perangkap itu merupakan langkah berjaga-jaga di samping untuk melindungi kawasan penempatan penduduk.
“Berdasarkan laporan terdapat dua ekor harimau yang dikatakan berkeliaran di lokasi ini dan semalam kita berjaya menangkap seekor daripadanya.
“Pemantauan berterusan akan terus dilakukan di kawasan perangkap yang dikenali sebagai ‘perangkap Wahab’ ini untuk memastikan ia berfungsi dengan baik,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, seekor harimau jantan seberat hampir 130 kilogram yang berkeliaran di itu sejak kelmarin akhirnya berjaya ditangkap pada pukul 3.30 petang.
Harimau dinamakan Awang Besol berusia hampir lima tahun itu ditembak ubat pelali oleh anggota Perhilitan di kawasan belukar yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama kampung tersebut.
Abdul Kadir memberitahu, operasi yang kini memasuki hari ketiga dijangka akan diteruskan sehingga seminggu lagi.
Dalam masa sama, beliau mengharapkan kerjasam penduduk kampung untuk segera menyalurkan maklumat kepada Perhilitan sekiranya ternampak kelibat haiwan liar itu. – UTUSAN ONLINE











