SEPANG 20 Julai- Surau Al-Iman di Taman Dengkil Jaya di sini musnah dalam kejadian kebakaran pada pukul 2.30 petang tadi.
Surau yang beroperasi sejak tahun 2000 dan mampu memuatkan 700 jemaah musnah terbakar hampir 90 peratus dalam kejadian itu.
Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Sharel Mohamed berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.45 petang.
Katanya, ketika tiba di lokasi, surau itu sudah 80 peratus terbakar dan operasi awal dilakukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tiba terlebih dahulu.
“Empat buah jentera dan dua buah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) masing-masing dari Balai Bomba KLIA, Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dan Balai Bomba Teluk Panglima Garang dikerahkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 28 anggota dan pegawai.
“Siasatan awal mendapati, kebakaran bermula di kawasan menyimpan sejadah dan anggaran kerugian masih dalam siasatan” katanya ditemui pemberita di lokasi kejadian tersebut di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Iman, Abdul Samad Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mendirikan beberapa khemah di hadapan tempat letak kereta sebagai surau sementara.
“Surau ini dibuka para tahun 2000 dan kos keseluruhan pembinaan sekitar RM300,000. Sumbangan orang awam dan pihak berkaitan amat diharapkan bagi membina semula surau ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Abdul Samad di talian 011-28535540 atau terus menyumbang menerusi akaun 8602812328 (CIMB) atas nama Surau Al-Iman Taman Dengkil Jaya. – UTUSAN ONLINE











