SEREMBAN 20 Julai – Pas Negeri Sembilan percaya kerjasama parti itu dengan UMNO mampu memenangi 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, jangkaan tersebut adalah berdasarkan data dan jumlah pengundi kedua-dua parti di kawasan DUN berkenaan dalam PRU-14.
Katanya, salah satu kerusi DUN yang boleh dimenangi ialah Sikamat dan kini disandang oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Insya-Allah, Sikamat salah satu daripada 20 DUN kerusi itu. Di Parlimen, kita boleh menang lima daripada lapan kerusi. Kalau kita bergabung, kita boleh menang di Kuala Pilah dan Tampin.
“Itu berdasarkan PRU-14, belum ambil kira lagi pengundi 18 tahun yang akan mengundi nanti,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan saf kepemimpinan baharu Pas negeri di sini hari ini.
Dalam PRU-14, Barisan Nasional (BN) memiliki 16 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) 20 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Bagi Parlimen, PH menang lima daripada lapan kerusi iaitu Seremban, Rasah, Kuala Pilah, Tampin dan Port Dickson manakala Rembau, Jelebu dan Jempol dimenangi BN.
Sementara itu, Rafiei berkata, barisan kepemimpinan baharu Pas negeri ini menggabungkan golongan agamawan dan profesional dengan 40 peratus daripadanya adalah muka baharu.
Katanya, beliau berharap gandingan tersebut akan dapat memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan. – UTUSAN ONLINE











