Doktor pakar MSO jayakan Kempen Kesedaran Mata - Utusan Malaysia

Doktor pakar MSO jayakan Kempen Kesedaran Mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 20 Julai – Seramai 15 doktor pakar Persatuan Oftalmologi Malaysia (MSO) menyertai Kempen Kesedaran Mata 2019 yang diadakan di Kelab Golf dan Rekreasi Petronas, Kertih dekat sini hari ini.

Program khidmat masyarakat anjuran Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Pertubuhan Jurutera Petroleum (SPE) Seksyen Terengganu itu bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan nelayan, golongan asnaf dan fakir miskin, pelajar serta penduduk tempatan mengenai kepentingan penjagaan mata.

Exco MSO, Datuk Dr. M. Johari Mohamad berkata, pihaknya terpanggil untuk menyumbangkan tenaga dan berkongsi pengalaman dengan golongan sasar kerana kajian menunjukkan di negeri-negeri Pantai Timur, kira-kira 12 orang daripada 1,000 orang dikenal pasti berisiko menghadapi masalah penglihatan termasuk buta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesedaran masyarakat dalam penjagaan mata termasuk mendapatkan rawatan masih di tahap rendah dan ini merupakan cabaran besar kepada MSO,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program itu oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd. Fadzli Yusof.

Yang hadir sama, Pengarah SPE Seksyen Terengganu, Nor Isham Abdullah.

Selain doktor pakar MSO, kempen tersebut turut disertai pakar dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Sementara itu, Mohd. Fadzli berkata, ramai nelayan di negeri ini dikesan mengalami masalah penglihatan kerana pendedahan terlalu lama kepada cahaya matahari semasa bekerja di tengah laut.

Bahkan, katanya, kalangan nelayan yang masih muda turut didapati berdepan masalah tersebut.

“Bagaimanapun, ada penglihatan nelayan yang berjaya dipulihkan setelah dibuat pemeriksaan lanjut dan dirujuk ke pusat pakar mata di Bangi.

“Kita amat mengharapkan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan supaya nasib golongan itu mendapat perhatian agar kehidupan keluarga mereka tidak terkesan ekoran masalah tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini