MACHANG 20 Julai – UMNO Bahagian ini sedia berkorban apa sahaja demi memantapkan pelaksanaan agenda penyatuan ummah, termasuk melepaskan kerusi Parlimen Machang kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga penyandang kerusi itu selama tiga penggal berkata, dalam proses penyatuan ummah terbaik yang ingin direalisasikan, soal kedudukan kerusi yang mahu ditandingi parti bukan lagi perkara pokok.
Sebaliknya tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, tolak ansur antara kedua-dua parti menjadi intipati utama dan pihaknya sedia menjadi contoh terbaik kepada amalan itu.
“Kalau ini mampu kuatkan lagi penyatuan ummah, kalau ini mampu menjadi contoh terbaik, kalau kerusi Parlimen Machang milik UMNO ini menjadi taruhannya, saya secara terbuka dengan hati tulus ikhlas rela korbankan asalkan perjuangan kita tercapai,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Machang yang disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Transformasi Keilmuan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya selepas itu menghargai kesediaan UMNO Machang melakukan pengorbanan tersebut namun beliau yakin, majoriti rakyat termasuk penyokong Pas sendiri mahukan Ahmad Jazlan kekal di situ.
“Ini kerana rekod perkhidmatan cemerlang ditunjukkan beliau selama ini, baik ketika kitq kerajaan Persekutuan mahupun ketika kita menjadi pembangkang seperti sekarang,” katanya.
Dalam PRU-14, Ahmad Jazlan sebagai penyandang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Machang dengan majoriti 2,824 undi menewaskan calon Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ahmad Jazlan memperoleh 26,076 undi manakala calon Pas, Zulkifli Mamat 23,252 undi dan calon Bersatu, Datuk Sazmi Miah 5,695 undi. – UTUSAN ONLINE











