PORT DICKSON 20 Julai – Siasatan polis yang tidak mengaitkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan video seks yang tular dalam media sosial baru-baru ini, hari ini disambut baik oleh PKR.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambil mengambil maklum bahawa siasatan polis masih lagi berjalan, parti itu menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
“Kita melihat keputusan ini sebagai positif dan gembira dengan pengesahan bahawa pengecaman wajah yang terlibat dalam video itu bukan individu yang dimaksudkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir dalam sesi Pemukiman Pimpinan PKR di sini hari ini.
Beliau yang membacakan kenyataan rasmi PKR berkata, parti itu juga tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas mengikut perlembagaan parti jika terdapat ahli dan pemimpin parti itu terlibat menyebarkan video tersebut.
“PKR mengulangi prinsip bahawa kami menolak politik jijik sekeras-kerasnya,” katanya.
Berikutan itu, jelasnya, PKR tidak akan mebuat apa-apa keputusan sehingga polis melengkapkan siasatan mereka.
Anwar berkata, gesaan supaya individu yang terlibat dalam kes itu meletak jawatan tidak lagi berbangkit.
“Kenyataan itu dibuat sebelum Ketua Polis Negara membuat pengesahan mengenai ketulenan video berkenaan semalam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











