IPOH 20 Julai – Pemain pasukan Perak hari ini mengadakan sesi bertemu peminat dan penyokong dalam sesi Meet and Greet Perak FA Player di sini sempena perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu ini.
Kira-kira 1,000 peminat dan penyokong menghadiri sesi tersebut yang turut disertai semua pemain dan jurulatih, Mehmed Durakovic.
Dalam sesi tersebut, para peminat berpeluang beramah mesra, bergambar dan mendapatkan tanda tangan para pemain.
Program diadakan di pekarangan syarikat kelengkapan sukan yang menaja jersi pasukan Perak, al-ikhsan di kompleks beli belah Ipoh Parade di sini.
Turut hadir, Pengurus Jenama al-Ikhsan, Ahmad Firdaus Nurullah Rasedee.
Ahmad Firdaus berkata, sesi tersebut memberi peluang kepada penyokong untuk bertemu para pemain Perak.
Menurutnya, dalam masa sama sempena perlawanan akhir Piala FA di antara Perak dan Kedah pada Ahad ini, pihaknya menawarkan pembelian kombo iaitu jersi dan tiket untuk para penyokong.
Beliau berkata, menerusi tawaran pembelian kombo itu, pembeli akan mendapat jersi edisi pemain, sehelai jersi-T khas sempena final Piala FA dan sekeping tiket yang berharga RM179.
“Tawaran pembelian kombo ini berdasarkan siapa cepat dia dapat dan pembeliannya hanya boleh dibuat di al-Ikhsan Ipoh Parade sahaja.
“Kami menawarkan 150 pembelian kombo dan menjangkakan ia akan habis dalam tempoh terdekat. Tawaran ini hanya setakat 23 Julai ini dan pembeli boleh menebus tiket selepas tarikh berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











