KUALA LUMPUR 20 Julai – Aktiviti riadah empat sekawan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas terjatuh dari ketinggian 16 meter ketika mendaki Bukit Batu Condong, Kemensah, dekat sini hari ini.
Difahamkan, kumpulan itu memulakan pendakian pada pukul 7.30 pagi dan kejadian tersebut berlaku ketika mereka mahu menuruni bukit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 9.12 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang tiba di laluan masuk 17 minit kemudian.
“Maklumat awal memaklumkan, mangsa, Syarfalili Saharir, 31, cedera parah di kepala dan kaki selepas terjatuh di atas batuan di tebing curam ketika berada di puncak yang terletak kira-kira 4 kilometer dari kaki bukit.
“Pasukan STORM berjaya membawa turun mangsa menggunakan teknik larian darat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Ampang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











