Ketidaktentuan harga minyak mentah Brent di peringkat global dan masalah geopolitik, adalah antara faktor utama yang memberi kesan kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Malah, para penganalisis menyifatkan keadaan tidak menentu ini akan berterusan dan menjadi penentu bagi sektor minyak dan gas dalam tempoh satu dekad akan datang dan seterusnya.
Industri minyak dan gas akan terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar yang timbul daripada ketidakpastian pasaran dan risiko geopolitik, tetapi syarikat tunggal Malaysia dalam senarai Fortune 500 itu telah mengekalkan usahanya untuk memupuk disiplin kos yang tinggi dan untuk memacu kecemerlangan operasi dalam usaha mencapai strategi pertumbuhannya.
Pertumbuhan
Ketika sesetengah syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang lain menunjukkan prestasi lemah akibat ketidaktentuan ekonomi global, Petronas menjadi antara syarikat yang mencatat prestasi baik dengan mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 9% tahun ke tahun kepada RM14.2 bilion, menunjukkan kekuatan strategi dan pelaksanaan kumpulan itu.
Prestasi memberangsangkan ini adalah hasil daripada strategi tiga hala untuk memaksimumkan penjanaan tunai, meluaskan rantaian nilai dan memulakan penerokaan baharu.
Untuk itu, sebagai sebahagian daripada inisiatif penerokaan baharu, syarikat mula meneroka sektor tenaga boleh diperbaharui atau Renewable Energy (RE).
Komitmen Petronas dalam penerokaan baharu ini terbukti apabila syarikat membeli kepentingan 100 peratus dalam Amplus Energy Solutions Pte. Ltd., sebuah syarikat terkemuka yang berpangkalan di Singapura dengan portfolio aset tenaga RE terbesar di 200 lokasi di India, Timur Tengah dan Asia Tenggara.
Di samping itu, Petronas turut mengumumkan kerjasama dengan UiTM Holdings Sdn. Bhd., syarikat pelaburan bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membangunkan projek loji kuasa photovoltaic solar berskala besar dan projek pengoptimuman tenaga dan solar bumbung di kampus.
Perkembangan ini adalah baik, namun, sebagai sebuah syarikat minyak tradisional, dengan membuat perubahan kepada sektor RE perlu ditangani secara berhati-hati tetapi optimis.
Penyusunan semula
Selaras itu, Petronas telah menyusun semula struktur operasi konvensional bagi mencerminkan penyertaan syarikat dalam sektor tersebut.
Ini menyaksikan pelantikan Adif Zulkifli sebagai Naib Presiden Eksekutif dan CEO Perniagaan Gas dan Tenaga Baharu Petronas seiring dengan usaha penyusunan semula dalaman Petronas yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah pada 28 Februari 2019.
Menguruskan sebuah syarikat besar dengan kepentingan perniagaan di seluruh dunia terutama ketika sedang menghadapi masalah ekonomi global memerlukan usaha yang gigih daripada pasukan pengurusan dan ini sepatutnya diberi perhatian sewajarnya.
Usaha Petronas ini bukan sahaja mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat tetapi mampu menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia kerana kemahiran operasi dan teknikal yang diperlukan adalah berbeza berbanding perniagaan bahan api fosil huluan dan hiliran.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad memuji komitmen Petronas untuk menjadi rakan tenaga dan penyelesaian yang progresif. Beliau percaya syarikat minyak negara akan membantu meletakkan Malaysia sebagai pusat penyelesaian tenaga inovatif di dunia.
Oleh demikian, Petronas mempunyai tugas berat untuk membawa syarikat menjadi pemain tenaga RE sebagaimana sebelum ini menjadi sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka dunia.
Tanggungjawab Petronas kini semakin besar. Pihak kepemimpinan Petronas setakat ini menunjukkan mereka mampu menangani cabaran ekonomi global.
Langkah ini bukannya mudah kerana pelbagai faktor tambahan lain perlu diberi perhatian. Ini termasuklah faktor Petronas sebagai penyumbang utama kepada hasil negara.
Menghadap ke hadapan, ketika menghadapi ketidakpastian pasar dan risiko geopolitik, Syarikat harus terus melabur untuk masa depan di samping mengekalkan usaha dalam menanamkan disiplin biaya yang kuat dan memacu kecemerlangan operasi dalam mengejar strategi pertumbuhannya.
Akhir kata, penciptaan kekayaan untuk negara menghasilkan kemakmuran bersama. – UTUSAN ONLINE











