PASIR GUDANG 16 Julai – Pertubuhan Jalinan Martabat Malaysia (MJMM) antara 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis berhubung kejadian pencemaran menyebabkan gangguan kesihatan yang melanda penduduk sekitar Pasir Gudang sejak 20 Jun lalu.
Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Seri Alam oleh Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah bersama-sama kira-kira 30 wakil NGO pada pukul 1.49 petang tadi.
Abdul Rani berkata, laporan polis itu dibuat bagi menyahut titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu kilang membuang sisa toksik dan mencemarkan alam sekitar menutup kilang mereka.
“Sesetengah pihak memikirkan soal kos yang tinggi untuk membayar pampasan kepada kilang yang ditutup berbanding perkara lebih mustahak membabitkan keselamatan nyawa penduduk di sini.
“Penutupan kilang-kilang ini juga memberi pengajaran kepada kilang lain agar tidak mengambil langkah sewenang-wenangnya dengan membuang sisa toksik sekali gus menjadi pengajaran kepada negeri lain,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah peguam dari Firma Kamarudin Partner, Kamarudin Ahmad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan. – UTUSAN ONLINE











