KOTA BHARU 15 Julai – Kelab Wartawan Muda Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) telah menganjurkan Program Bedah Buku Antologi Sajak yang berjudul Muara Azali di sini hari ini.
Penasihat Kelab Wartawan Muda Kias yang juga seorang penulis buku tersebut, Rosnani Ripin berkata, program itu adalah untuk memperkenalkan buku antologi sajak, Muara Azali yang dihasilkan untuk memenuhi keperluan umum termasuk pelajar sekolah mahupun Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Beliau berkata, setakat ini, ia telah diedarkan di enam buah sekolah khusus kepada pelajar tingkatan enam.
“Memang kita telah merancang sejak awal lagi untuk melaksanakan Program Bedah Buku di sini (Kias) dan ia berjaya dilaksanakan selepas buku ini diterbitkan.
“Selepas ini, kita akan berusaha melancarkan buku ini di beberapa buah IPT termasuk di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada September ini,” katanya selepas Program Bedah Buku di Dewan Kuliah 6, Kias, Nilam Puri di sini hari ini.
Yang turut hadir, penulis buku Muara Azali iaitu M. Arif, Leo A.W.S, Mazli Husma dan Mukhtar Mustafa serta Pengerusi Kelab Wartawan Muda Kias, Arief Budiman Zainul Abiddin.
Rosnani berkata, Muara Azali yang menjadi judul kepada antologi sajak ini membawa makna secara jelas.
“Judul ini merupakan gabungan nama lima orang penyair yang menyumbang 25 buah sajak setiap seorang.
“Muara ialah gabungan nama Mukhtar Mustafa, M. Arif dan Rosnani Ripin manakala Azali pula gabungan nama Mazli Husma dan Leo A.W.S,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 200 buah buku Muara Azali yang diterbitkan untuk cetakan pertama telah habis dijual.
“Setakat ini, kita dalam proses ulang cetak dan ia akan diedar mengikut keperluan.
“Kita hanya mencetak buku ini bila ada tempahan kerana kita tidak mempunyai dana dari mana-mana sumber,” katanya. -UTUSAN ONLINE









