SEPANG 9 Kulai – Seorang suami sanggup bersengkang mata menunggu isteri dan tiga anaknya tidur terlebih dahulu sebelum dia bersama enam orang rakan berpesta minum air ketum di rumahnya di Taman Dengkil Jaya di sini semalam.
Walau bagaimanapun, taktik penghantar barang berusia lingkungan 30-an itu terbongkar selepas tujuh anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menghidu kegiatan mereka sewaktu menjalankan rondaan Ops Cegah kira-kira pukul 12.30 malam tadi di kawasan terlibat.
Ketua Operasi AADK Sepang, Almudin Abd. Razam berkata, sewaktu rondaan dijalankan, ketujuh-tujuh suspek berada di luar rumah tersebut sebelum bertempiaran lari masuk ke dalam rumah selepas melihat anggota AADK.
Jelasnya, panik dengan situasi itu, mereka dipercayai memecahkan bungkusan air ketum di atas lantai ruang tamu dan bilik air.
“Tindakan itu dipercayai untuk mengelakkan mereka daripada ditahan. Siasatan awal mendapati, isteri suspek utama yang tidur di tingkat atas tidak tahu suami minum ketum bersama rakan-rakan di dalam rumah.
“Pemilik rumah itu memastikan isteri dan tiga anaknya berusia tiga hingga sembilan tahun tidur terlebih dahulu sebelum memanggil rakan-rakannya untuk berpesta minum air ketum di rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Almudin, pemeriksaan di dalam rumah itu turut menemui beberapa botol ubat batuk yang dipercayai dicampurkan ke dalam air ketum itu.
Ujarnya, berdasarkan siasatan terhadap suspek utama, dia sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas kesalahan memiliki ketum namun, dibebaskan atas jaminan RM4,000.
“Pemeriksaan ujian saringan air kencing turut mendapati empat daripada suspek termasuk pemilik rumah itu positif dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983. – UTUSAN ONLINE











