JOHOR BAHRU 9 Julai – Keputusan kerajaan negeri menukar pendirian mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun yang dibuat semalam jelas menunjukkan tiada persefahaman di antara Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan barisan Exconya.
Dewan Muda Johor (DMJ) turut menyelar keputusan itu yang dibuat pada mesyuarat Exco yang dipengerusikan Dr. Sahruddin hari ini dan dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sheikh Umar Ali.
Ahli DMJ, Darren Lai Chai En berkata, DMJ menyambut baik pendirian rasmi Menteri Besar terhadap RUU 688 yang mengekalkan had umur belia di negeri ini 40 tahun tetapi agak terkejut dengan kenyataan bercanggah Sheikh Umar hari yang menyatakan kerajaan negeri menerima had umur belia kepada 30 tahun.
Menurutnya, ia jelas menunjukkan berlaku satu krisis tiada persefahaman antara barisan pimpinannya dan DMJ percaya ia akan menimbulkan perspektif negatif bukan hanya kepada rakyat tetapi juga kepada bakal pelabur yang mempunyai kepentingan di negeri ini.
“Status dan kuasa seorang Menteri Besar adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan status serta kuasa seorang Pengerusi Jawatankuasa.
“Dan jika kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh seorang Menteri Besar, kenyataan itu seharusnya dipersetujui oleh semua barisan Exco, maka tidak perlu untuk Exco lain membuat kenyataan rasmi yang menidakkan kenyataan Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Darren berkata, sebagai sebuah kerajaan yang telah mentadbir lebih 400 hari, seharusnya lebih peka dengan modus operandi sebuah kerajaan dan tiada tindakan yang melulu oleh mana-mana pihak.
Tambahnya, Johor sebagai sebuah negeri yang pesat membangun seharusnya mempunyai barisan jawatankuasa yang bermuafakat dalam membuat keputusan bagi kepentingan negeri ini.
“Jangan kerana kepentingan politik mengaburi keputusan sehinggakan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat diabaikan.
“DMJ sekali lagi menyeru bahawa konsep muafakat itu penting untuk diamalkan dan memohon supaya kepentingan Bangsa Johor diutamakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











