KUALA LUMPUR 9 Julai – Anak syarikat milik penuh TFP Solutions Bhd., MBP Solutions Sdn. Bhd. memeterai perjanjian penjenamaan bersama dengan Tune Talk Sdn. Bhd. untuk melancarkan produk teknologi kewangan (fintech) mudah alih, OneCALL yang menyasarkan penduduk yang tidak mempunyai akses kepada bank dan institusi kewangan.
Pengarah Urusan TFP, Datuk Hussian@Rizal Abdul Rahman berkata syarikat itu dijangka melancarkan produk tersebut dalam tempoh tiga minggu lagi sementara menunggu pengesahan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Kumpulan sasaran kami ialah pekerja asing serta penduduk luar bandar yang tidak mempunyai akaun bank.
“Kami menyasarkan kira-kira 40,000 hingga 50,000 pelanggan menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TFP, Abdul Latib Tokimin menandatangani perjanjian itu bagi pihak syarikat manakala Tune Talk diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameen Amaendran.
Menurut Abdul Latib, penduduk yang tidak mempunyai akses kepada bank dan institusi kewangan mempunyai potensi untuk menjayakan OneCall.
Katanya, kira-kira dua juta rakyat Malaysia mewakili lapan peratus daripada 24 juta populasi dewasa tidak mempunyai akaun bank, manakala kira-kira 66 peratus pekerja asing tiada kemudahan perbankan.
“Daripada perspektif saiz pasaran, terdapat sembilan juta penduduk tinggal di kawasan luar bandar. Kajian kumpulan itu terhadap pekerja asing pula mendapati, ketika ini kira-kira dua juta warga Bangladesh, satu juta warga Indonesia dan 800,000 warga Nepal menetap di Malaysia.
“Kami menjangka aliran keluar kira-kira RM20 juta bagi nilai pengiriman wang menerusi saluran bukan perbankan dan pengguna di Malaysia membelanjakan kira-kira RM1 trilion setahun, manakala 60 peratus lagi secara tunai,” katanya.
Beliau berkata, OneCALL berhasrat menangani cabaran pasaran dengan menyertakan ciri-ciri unik seperti kiriman wang, mesin juruwang automatik (ATM) maya, nombor pengenalan peribadi (PIN), perkakasan gaya hidup, pembayaran bil bersama-sama penduduk berpendapatan rendah di negara ini seperti program keusahawanan B40.
Sementara itu, Ameen berkata, pihaknya berhasrat memanfaatkan perkongsiannya untuk meraih lebih ramai pelanggan di kawasan luar bandar selain pekerja asing yang dijangka akan meningkat sebanyak 100,000 hingga 200,000 pelanggan untuk tahun akan datang.
Beliau berkata, pelanggan OneCall juga akan menikmati perkhidmatan mudah alih Tune Talk seperti perkhidmatan khidmat pesanan ringkas dan/atau pelan data bersama dengan pelbagai manfaat seperti ‘Tune Talk Big Points,’ penebusan penerbangan dan promosi perjalanan dengan AirAsia, program ganjaran daripada rakan kongsinya selain insurans peribadi.
“Sebagai operator rangkaian mudah alih maya terbaik di Malaysia yang mempunyai produk dan perkhidmatan menarik, kami berhasrat bekerjasama dengan rakan kami, OneCALL. Saya percaya inovasi merupakan kaedah yang terbaik di masa depan khususnya dalam era digital yang pantas,” katanya. – BERNAMA











