Suami ajak rakan minum ketum selepas isteri tidur - Utusan Malaysia

Suami ajak rakan minum ketum selepas isteri tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Seorang suami sanggup bersengkang mata menunggu isteri dan tiga anaknya tidur terlebih dahulu sebelum dia bersama enam orang rakan berpesta minum air ketum di rumahnya di Taman Dengkil Jaya di sini malam tadi.

Bagaimanapun, taktik penghantar barang berusia dalam lingkungan 30-an itu terbongkar selepas tujuh anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menghidu kegiatan mereka sewaktu menjalankan rondaan Ops Cegah kira-kira pukul 12.30 malam tadi di kawasan tersebut.

Ketua Operasi AADK Sepang, Almudin Abd. Razam berkata, sewaktu rondaan dijalankan, ketujuh-tujuh suspek yang juga berusia dalam lingkungan 30-an berada di luar rumah tersebut sebelum bertempiaran lari masuk ke dalam rumah selepas melihat anggota AADK.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, panik dengan situasi itu, mereka dipercayai memecahkan bungkusan air ketum di atas lantai ruang tamu dan bilik air.

“Tindakan itu dipercayai untuk mengelakkan mereka daripada ditahan. Siasatan mendapati, isteri suspek utama yang tidur di tingkat atas tidak tahu suami minum ketum bersama rakan-rakan di dalam rumah mereka.

“Pemilik rumah itu memastikan isteri dan tiga anaknya berusia tiga hingga sembilan tahun tidur terlebih dahulu sebelum memanggil rakan-rakannya untuk berpesta minum air ketum di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Menurut Almudin, pemeriksaan di dalam rumah itu turut menemui beberapa botol ubat batuk yang dipercayai dicampur ke dalam air ketum itu.

Ujarnya, berdasarkan siasatan terhadap suspek utama, dia sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas kesalahan memiliki ketum namun, dibebaskan selepas dijamin sebanyak RM4,000.

“Pemeriksaan ujian saringan air kencing turut mendapati empat daripada suspek termasuk pemilik rumah itu positif dadah jenis opiat” katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini