KUALA LUMPUR 9 Julai – Empat lelaki termasuk seorang individu yang dikehendaki ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki terlibat kumpulan pengganas 14 Jun hingga 3 Julai lalu.
Kesemua mereka yang ditahan terdiri dua lelaki keturunan Rohingya dan masing-masing seorang dan masing-masing warganegara Filipina dan India.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di Selangor dan Kedah.
Ujarnya, dalam tangkapan pertama telah di lakukan pada 14 Jun lalu di Klang Selangor dan menahan seorang suspek berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pendawai elektrik.
“Suspek ditahan kerana mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group dan juga didapati terlibat dalam membantu aktiviti penculikan dengan meminta wang tebusan di Perairan Sabah.
“Selain itu, suspek juga telah disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki oleh pihak Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan tinggal di negara ini secara haram dengan menggunakan kad pengenalan pals,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid memberitahu, tangkapan kedua pula telah dilakukan terhadap seorang lelaki warga negara India di Ampang, Selangor pada 21 Jun lalu.
Jelasnya, suspek berusia 24 tahun dan bekerja sebagai penyelenggara lif itu ditahan selepas mendapati dia bertindak sebagai fasilitator kepada anggota kanan Kumpulan Pengganas Babbar Khalsa International (BKI) India yang memasuki ke negara ini pada November tahun lalu dan Jun ini.
“Siasatan lanjut juga mendapati suspek juga telah menyalurkan wang berjumlah RM7,600 bagi membiayai aktiviti kumpulan terbabit di rantau Asia Tenggara.
“Tangkapan ketiga pula telah dilakukan pada 24 Jun lalu di Sungai Petani, Kedah melibatkan seorang warga Myammar yang berusia 41 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan. Suspek dipercayai merupakan penyokong kumpulan Arakan Rohinya Salvation Army (ARSA),” ujarnya.
Tambah Abdul Hamid, lelaki tersebut juga telah ditahan sebelum ini kerana memuat naik satu video ugutan ke atas Perdana Menteri Bagladesh, Sheikh Hasina Wazed melalui laman sosial miliknya.
“Suspek juga pernah ditangkap sebanyak tiga kali pada tahun 1997 kerana memasuki negara ini secara haram selain pada 2012 kerana didapati menggunakan dokumen perjalanan palsu dan terlibat dalam aktiviri penyeludupan manusia pada 2015.
“Tangkapan terakhir pula dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai guru madrasah di Bukit Pinang, Alor Setar, Kedah pada 3 Julai lalu kerana didapati memberi sokongan kepada kumpulan pengganas ARSA,” Katanya.
Sehubungan itu, Hamid menambah kesemua suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Akta 574 Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut prosedur di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012.-UTUSAN ONLINE









