Saringan kesihatan mental mangsa kejadian sesak nafas Pasir Gudang - Utusan Malaysia

Saringan kesihatan mental mangsa kejadian sesak nafas Pasir Gudang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 9 Julai – Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan telah menjalankan saringan kesihatan mental terhadap mangsa-mangsa kejadian sesak nafas di Pasir Gudang, Johor sejak 20 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, secara kumulatif sejumlah 751 orang awam termasuk kanak-kanak telah menerima khidmat bantuan awal psikososial manakala 520 orang lagi menerima intervensi psikologi dengan 27 kes dirujuk untuk penilaian lanjut.

“Semua kes kanak-kanak dengan gejala keresahan dirujuk kepada klinik pakar psikiatri kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa sama, Dzulkefly memaklumkan, kumulatif kes kejadian sesak nafas di Pasir Gudang adalah sebanyak 1,138 kes iaitu 1,094 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar dan 44 lagi dimasukkan ke dalam wad.

Katanya, bagi kesemua kes yang dimasukkan ke dalam wad, tiada pesakit menerima rawatan di unit rawatan rapi dan tiada kematian dilaporkan.

“Sehingga pukul 8 pagi ini, terdapat satu kes baharu dilaporkan dan mangsa diberi rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Masai, Johor Bahru. Walau bagaimanapun, tiada lagi kes yang dimasukkan ke dalam wad,” ujar beliau.

Dzulkefly menambah, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih meneruskan pemantauan di lapangan dan orang ramai adalah dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“Kementerian Kesihatan sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini