DHAKA – Lebih 4,500 warga Rohingya hilang tempat tinggal dan seorang maut selepas berlakunya tanah runtuh ekoran hujan berpanjangan di kem-kem pelarian, semalam.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekitar 35 sentimeter (cm) hujan turun dalam tempoh 72 jam sebelum tanah runtuh bermula pada Sabtu di kem sekitar Cox’s Bazar.
Katanya, kem itu menempatkan lebih 900,000 etnik minoriti Muslim yang melarikan diri dari Myanmar.
“Sebanyak 26 tanah runtuh dilaporkan kem sementara yang dibina pada bukit berdekatan sempadan dengan Myanmar.
“Pokok-pokok di sana telah dipotong bagi membina pondok dan kayu api menyebabkan keadaan muka bumi tidak stabil,” katanya.
Pegawai agensi pelarian PBB, Areez Rahman memberitahu, sekitar 30 kem kecil terjejas dalam ribut.
“Seorang wanita berusia 50an maut selepas dihempap dinding yang runtuh,” ujarnya kepada AFP.











