Lelaki maut tertembak diri sendiri - Utusan Malaysia

Lelaki maut tertembak diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 59 tahun maut selepas disyaki tertembak diri sendiri ketika sedang mencuci senapang patah miliknya di sebuah rumah di Kampung Perlis Simpor, Tikam Batu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak bermaya sebelum disahkan meninggal dunia dengan kesan tembakan pada dagu kiri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata, isteri mangsa memaklumkan suaminya itu dilihat mengeluarkan senapang bersama peralatan mencuci senjata tersebut di beranda rumah kira-kira pukul 5.50 petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isterinya kemudian terdengar bunyi tembakan kira-kira lima minit kemudian dan terus meluru keluar untuk memeriksa apa yang berlaku.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan masih memeluk senapang yang mana laras senjata itu menghala ke arah dagunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, berdasarkan kedudukan mayat dan kecederaan, mangsa dipercayai sedang mencuci senjata dalam keadaan duduk di kerusi plastik sebelum tertembak di bawah dagu sebelah kiri.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Hospital Sultan Abdul Halim yang tiba di lokasi pada pukul 6.30 petang tadi,” ujarnya.

Menurut Adzli, mangsa merupakan pemegang lesen senjata api jenis Benelli dengan tujuan pemilikan adalah untuk mencegah musuh tanaman.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan mati mengejut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini