KUALA LUMPUR – Kedah mara ke pentas akhir Piala FA 2019 biarpun tewas 2-3 dalam saingan separuh akhir kedua menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka sebentar tadi, sekali gus menempah pertemuan dengan Perak di final nanti.
Dalam saingan tersebut, skuad Lang Merah, yang melangkah ke perlawanan akhir menerusi kelebihan jaringan tempat lawan biarpun agregat 3-3 terlebih dahulu berada di depan selepas Fernando Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26.
Skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak kemudian melebarkan kedudukan apabila pemain sayap Farhan Roslan menjaringkan gol kedua Kedah, hasil rembatan rendah kaki kiri pada minit ke-37.
Bagaimanapun tuan rumah mencetuskan debaran apabila Thiago Junio mengurangkan defisit keputusan pada minit ke-35, sebelum S. Chanturu menyamakan kedudukan menerusi sepakan menarik dalam kotak penalti, tujuh minit kemudian.
Masih belum berputus asa, anak-anak buah Nidzam Jamil kemudian sempat menjaringkan gol kemenangan perlawanan menerusi kapten mereka, Hadin Azman menjaringkan gol di sudut sukar pada masa kecederaan.
Malam yang menyaksikan kedua-dua pasukan menjaringkan gol, bagaimanapun Kedah berjaya menempah pertemuan dengan Perak di final Piala FA selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Felda dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, 22 Jun lalu.- UTUSAN ONLINE











