Wang simpanan cikgu pencen RM197,000 lesap - Utusan Malaysia

Wang simpanan cikgu pencen RM197,000 lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang pesara guru wanita kerugian RM197,000 selepas diperdaya sindiket Parcel Scam melalui kenalan Facebooknya yang mengaku sebagai warga Ukraine dalam kejadian pada 10 April lalu.

Mangsa berusia 58 tahun yang menetap di Pendang, dekat sini hanya membuat laporan polis semalam selepas anaknya mendapat tahu kesemua wang simpanan milik ibunya telah dikeluarkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Annuar Amri Abd. Muluf berkata, kedua-dua mereka mula mengenali antara satu sama lain sejak Februari lalu melalui Facebook.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, suspek kononnya ingin menjadikan mangsa sebagai kakak angkat kerana akan bekerja di Sabah membabitkan projek gas sebuah syarikat terkenal.

“Pada hari kejadian, mangsa dihubungi kenalannya yang meminta tolong kononnya ditahan akibat membawa wang tunai USD melebihi had dan kemudian bercakap dengan seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai kastam.

“Mangsa diminta membayar sehingga RM77,000 untuk membebaskan rakan Facebooknya itu dan dijanjikan bayaran semula oleh suspek. Malah, mangsa juga diminta meminjamkan akaun untuk memindahkan sebanyak RM2 juta bagi tujuan perniagaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Annuar Amri berkata, tidak lama kemudian, mangsa dihubungi seseorang yang mengaku pegawai bank dari Pulau Pinang dan memberitahu terdapat transaksi wang hendak dibuat ke akaun bank mangsa.

“Pada masa sama, kenalan Facebook tersebut meminta mangsa membayar cukai antarabangsa berjumlah RM40,000 ke akaun bank syarikat, sebelum dia dikehendaki pula membayar RM75,000 lagi oleh pegawai bank terbabit kerana mempunyai tunggakan rumah sebelum wang RM2 juta dapat dipindahkan ke akaun mangsa,” ujarnya.

Kata beliau, sindiket tersebut terus licik memperdaya wanita itu apabila mendakwa tempoh pembayaran telah tamat dan diminta membayar cukai sebanyak RM5,000 sekiranya mahu mendapatkan semula wang berjumlah RM2 juta.

“Mangsa telah melakukan empat transaksi ke akaun-akaun bank terbabit melalui perkhidmatan kaunter sehingga menyebabkan dia kerugian sebanyak RM197,000.

“Kita percaya mangsa diperdaya oleh sindiket Parcel Scam yang didalangi oleh warga Afrika dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini