Aksi bintang dunia pukau penonton di Larkin - Utusan Malaysia

Aksi bintang dunia pukau penonton di Larkin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Biarpun sudah lama menggantung but, namun skil yang masih dimiliki bekas bintang-bintang dunia seperti Rivaldo, Marco Materazzi, Gianluca Zambrotta, David Trezeguet, Edgar Davids, Louis Saha dan Bebeto nyata memukau peminat bola sepak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Aksi JDT All-Stars Friendly itu bertujuan mengumpul dana bagi pertubuhan-pertubuhan kebajikan.

Claude Makelele, 46, yang pernah bermain untuk kelab gergasi Real Madrid antara tahun 2000 dan 2003 sebelum menyertai pasukan Chelsea sehingga 2008 berkata dia dan rakan baru sahaja tiba di bandar raya ini, pagi tadi, namun sudah nampak saingan sengit akan berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Senarai nama pemain sahaja sudah menakjubkan dan saya gembira mengetahui ada dalam kalangan mereka masih aktif dalam industri ini.

Jadi, saya tidak terkejut jika permainan malam ini bertukar menjadi sukar kerana setiap orang tidak sabar mempamerkan kemahiran masing-masing,” katanya dalam sesi pertemuan bersama media di sini, hari ini.

Sementara itu, bekas pemain Newcastle United dan Fulham, Louis Saha, 41, berkata, sudah lama tidak beraksi di padang, bukan alasan untuk dirinya gagal menyerlahkan corak permainan yang terbaik malam ini.

Malah menurutnya, kebanyakan pemain yang disenaraikan untuk perlawanan itu pernah ditemuinya dahulu sewaktu kariernya sedang memuncak.

“Sebagaimana yang anda ketahui, kami adalah sebahagian daripada keluarga bola sepak dan kami tidak boleh lari daripada kenyataan itu. Jadi, bagus untuk berjumpa mereka lagi dan saya tidak sabar lagi untuk memberikan persembahan terbaik saya,” katanya.

Perlawanan menemukan pasukan JDT TMJ dan JDT Rest of the World di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu menyasarkan untuk mengumpul lebih daripada RM500,000 untuk disalurkan kepada beberapa pertubuhan kebajikan antaranya Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) .

Kutipan dikumpul menerusi hasil jualan tiket yang berharga antara RM20 dan RM50 serta tajaan daripada pelbagai pihak.

Turut berada dalam senarai pemain adalah bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow, selain bekas kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini