KUALA LUMPUR – Seorang wanita ditahan selepas didapati memiliki 5.70 gram dadah jenis syabu di hadapan kedai makan di Jalan Lui Shan Bang, Kota Sentosa kelmarin.
Portal berita Utusan Borneo melaporkan, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata, suspek wanita berumur 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 malam.
“Hasil pemeriksaan lanjut di kediaman suspek, polis berjaya merampas ketulan syabu dengan anggaran berat kasar 5.70 gram yang dianggarkan bernilai RM855,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidil memberitahu, hasil saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya.
“Suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah direman selama empat hari mulai hari ini sehingga 3 Julai ini,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











