KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Brunei ditahan di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Kuala Baram, di sini ketika cuba membawa masuk dadah ke negara ini malam semalam.
Portal berita Utusan Borneo melaporkan, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri, kira-kira pukul 11.40 malam.
“Pemeriksaan lanjut pada kenderaan suspek berjaya menemukan 200 biji pil pelbagai warna iaitu biru, merah jambu, hijau dan kuning disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
“Anggaran berat kasar keseluruhan barang kes adalah 64.32 gram dan anggaran harga pasaran ialah RM24,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











