KUALA LUMPUR 26 Jun – Kumpulan Utusan dijangka kembali mencatat keuntungan menjelang 2021 selepas bebas daripada belenggu hutang pada suku keempat tahun depan selain berjaya melupuskan beberapa aset bukan teras.
Pengiklanan digital dan cetak yang semakin meningkat juga dijangka membantu kumpulan mencapai sasaran itu.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, sebagai sebuah syarikat perkhidmatan media, syarikat ini tidak memerlukan aset yang besar sebaliknya perlu berusaha mencapai akses kepada pelanggan dengan seramai mungkin.
Ini kerana, katanya, syarikat yang berorientasikan perkhidmatan media perlu lebih bergantung kepada aliran tunai berbanding aset.
“Kami kini melakukan penjualan aset untuk membuat pembayaran skim pemisahan sukarela (VSS) yang berjumlah hampir RM90 juta. Kini, kami berusaha untuk mengurangkan hutang dan hasrat kumpulan adalah bebas hutang menjelang akhir 2020.
“Proses penjualan aset ini bukan dilakukan secara tergesa-gesa tetapi sehingga sektor pasaran menjadi lebih baik. Harapannya, agar semua aset (bukan aset teras) dilupuskan dan kami akan berpindah pejabat operasi ke kilang percetakan di Bangi, Selangor.
“Saya berharap langkah ini bukan sahaja dapat menyatukan setiap kakitangan sebaliknya menjadikan operasi dan kos lebih efisien,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kumpulan Utusan di sini hari ini.
Bercakap mengenai pendapatan iklan digital, Abd. Aziz memberitahu, dalam masa lima tahun, perolehan iklan digital akan melebihi perolehan iklan akhbar.
“Sekarang ini, perolehan Utusan hampir RM9 juta sebulan yang diperoleh menerusi iklan akhbar dan edaran. Jadi, kita rasa dalam lima tahun lagi, angka digital itu akan dapat melebihi angka iklan akhbar dan edaran sekarang ini,” katanya.










