KUALA LUMPUR 26 Jun – Petronas Chemicals Group (PCG) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Plastic Energy Ltd., syarikat kitar semula kimia untuk bekerjasama menangani sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula secara konvensional di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals, Datuk Sazali Hamzah berkata, kerjasama strategik itu menandakan langkah pertama ke arah ekonomi yang memaksimumkan rantaian nilai plastik.
Katanya, PCG dan Plastic Energy akan melaksanakan kajian untuk menubuhkan kemudahan menukar sisa plastik kepada Tacoil, bahan mentah yang optimum.
“Perkongsian dengan Plastic Energy sejajar dengan objektif kami ke arah menjadi sebahagian rakan kerjasama tenaga progresif dan penyelesaian yang memperkayakan kehidupan mapan.
“Kami percaya dalam mengimbangi matlamat perniagaan kami terhadap tanggungjawab pembangunan mapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bergantung kepada hasil kajian itu, PCG dan Plastic Energy boleh mempertimbangkan membina kilang komersial di Malaysia.
Kerjasama itu membolehkan PCG menggunakan Tacoil dihasilkan oleh Plastic Energy untuk pengeluaran polimer di kompleks petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan mendapatkan pensijilan polimer pekeliling daripada Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC).
Plastic Energy berjaya mengkomersialkan teknologi penukaran termokimia dipatenkan dan pada masa ini, syarikat itu mempunyai dua kilang komersial di Seville dan Almeria, Sepanyol.










