KUALA LUMPUR 26 Jun – Konflik antara Felda dan FGV didakwa bermula dengan perpindahan FGV yang menyebabkan bangunan Menara Felda kosong hampir dua pertiga.
Menurut sumber dalaman Felda, setakat ini terdapat dua atau tiga tingkat sahaja yang kembali terisi baru-baru ini, selebihnya masih kosong.
“Banyak perkara tidak dibawa berbincang terlebih dahulu, malah memilih untuk bercakap secara terbuka. Mereka sombong dan membuat keputusan yang tidak berpandukan kepada Felda.
“Elok saja mereka berundur. Ini sahaja dapat selesaikan masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
FGV sebelum ini dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Bhd. menukar namanya pada 5 Julai 2018 bagi meningkatkan imej kumpulan selain mahu mengelakkan kekeliruan yang mengaitkan FGV dengan Felda sebagai satu entiti sama.
Dalam masa sama, menurut sumber itu lagi, terdapat beberapa pendekatan yang diambil FGV dilihat ‘melukakan hati’ pemegang saham, terutama membabitkan isu Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan mengungkit kembali bayaran yang telah dibuat kepada Felda sejak 2012.
Sebelum ini, dalam surat kedua kepada semua pemegang saham minggu lalu, Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, walaupun pemegang saham lain FGV setuju untuk memberi kembali tanah kepada Felda bagi mendapatkan pampasan bersesuaian, FGV akan kekal sebagai syarikat berprestasi tinggi.
Namun, firma penyelidikan, CIMB Equities Research menyifatkan sekiranya Felda memansuhkan LLA ia akan memberi kesan memandangkan pelan FGV untuk memberi tumpuan kepada segmen hiliran mengambil tempoh masa yang lama sebelum membuahkan hasil.










