KUALA LUMPUR 26 Jun – Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd. (FGV) didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memulihkan syarikat dengan keputusan-keputusan yang bukan sahaja tidak menguntungkan, tetapi juga diputuskan tanpa berbincang dengan pemegang saham.
Isu yang membelenggu FGV bukan sahaja menjejaskan sebuah institusi Melayu dan bumiputera malah memberi implikasi kepada sejauh mana ketelusan tadbir urus syarikat ini di kaca mata pelabur.
Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda (KPF), Datuk Zakaria Arshad berkata, sehingga kini, KPF mengalami kerugian lebih RM1 bilion disebabkan penyusutan harga saham FGV memandangkan syarikat tersebut merupakan pelaburan terbesarnya.
Katanya, terdapat inisiatif-inisiatif baharu FGV juga tidak memberi banyak manfaat kepada KPF dengan beberapa model perniagaan mendatangkan kerugian kepada koperasi berkenaan.
“Dalam keadaan pendapatan peneroka yang meleset dengan ketara, FGV sepatutnya bersimpati dengan mereka dan lebih fokus kepada perniagaan yang ada kerana masih banyak perlu dibaiki,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Mesyuarat Agung Tahunan FGV yang berlarutan sehingga lima jam, gempar dengan tindakan tidak disangka-sangka daripada tiga pemegang saham utama syarikat tersenarai itu yang menolak empat resolusi, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Tiga pemegang saham terbesar iaitu Felda, KPF dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masing-masing memiliki 33.7 peratus, lima peratus dan 1.25 peratus dalam FGV.
Bagaimanapun, Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, Lembaga Pengarah telah bekerja keras dalam tempoh lebih setahun setengah ini bagi melaksanakan pelan perubahan yang mampu menyumbang kepada kemapanan positif untuk FGV.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, adalah sesuatu yang amat merugikan kerana FGV adalah sebuah syarikat yang besar dan mempunyai 100 syarikat di bawahnya dengan pelbagai aktiviti huluan dan hiliran, pastinya memberi kesan kepada rantaian perniagaannya.
“Apa jua hubungan yang merumitkan antara Felda dan FGV, selesaikan! Jika tidak mangsanya, adalah peneroka. Sama ada Felda mahupun FGV, kita tidak boleh lupa pemegangan taruhnya adalah peneroka.
“Dalam keadaan harga sawit tidak menentu dan masalah dalaman menimpa Felda dan FGV, ini amat malang sekali. Situasi ini hanya akan menyebabkan ketidaktentuan kepada operasi FGV dan menjejaskan harga sahamnya,” katanya.
Ketika ditutup petang ini, harga saham FGV susut satu sen kepada RM1.14 sesaham dengan pasaran modal RM4.16 bilion. Ketika disenaraikan pada 2012, saham FGV ditawarkan pada RM4.55 sesaham, iaitu penyenaraian kedua terbesar selepas Facebook.
• KPF rugi lebih RM1 bilion disebabkan harga saham FGV susut.
• Inisiatif FGV rugikan KPF.
• Tiada perbincangan secara konsisten antara pengurusan FGV dan KPF. Anak-anak syarikat pegangan KPF di bawah FGV tidak mengadakan mesyuarat lembaga seperti sepatutnya manakala laporan pengurusan dan kewangan berkala tidak dibuat.
• Gaji pengerusi FGV sebanyak RM1.9 juta setahun adalah terlalu tinggi.
• Masih banyak perniagaan sedia ada perlu dibaiki
• FGV wajar beri layanan istimewa kepada KPF untuk mendapatkan peluang perniagaan dalam FGV.
6 faktor Felda tidak senang dengan prestasi FGV










