PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menghantar pencalonan jaringan pertahanan import Pahang, Herold Goulon untuk bersaing pada Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2019 semalam.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, selepas berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), mereka bersetuju untuk mewakilkan FAM bagi menghantar pencalonan gol yang dijaringkan oleh Goulon minggu lalu.
“Pahang sudah meluluskan kepada FAM untuk mengemukakan gol tersebut kepada FIFA dan FAM akan menghantar surat rasmi pencalonan serta rakaman video jaringan tersebut hari ini (semalam).
“Secara jujur, ia merupakan gol istimewa dan salah satu yang terbaik pada tahun ini. Mungkin jaringan tersebut sukar untuk diulangi pada masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Goulon yang juga bekas pemain Blackburn Rovers telah melakukan sepakan percuma melebihi jarak 55 meter untuk membantu pasukannya menewaskan Perak 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lepas.
Gol tersebut telah menjadi tular dan mendapat liputan meluas pelbagai agensi media asing dari serata dunia yang menyifatkan jaringan dilakukan pemain berusia 31 tahun dari Perancis itu antara yang terbaik tahun ini.
Pencalonan gol Goulon adalah yang kedua pada tahun ini selepas badan induk bola sepak negara itu mencalonkan gol pemain serba boleh pasukan Selangor, Muhammad Syahmi Safari untuk Anugerah Puskas pada Mac lepas.
Sebagai rekod, bekas pemain Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri mencipta sejarah menjadi pemain pertama dari rantau Asia yang berjaya menerima Anugerah Puskas FIFA pada 2016 juga hasil daripada sepakan percuma.










