KUALA LUMPUR – Loji Air Rawatan (LRA) Sungai Semenyih yang dihentitugas sementara ekoran pencemaran bau di sumber air telah kembali beroperasi sepenuhnya pada pukul 6 pagi tadi.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn.Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata, proses penyaluran bekalan air ke sistem agihan dan kolam-kolam perkhidmatan di kawasan terjejas sedang berlangsung bagi proses pemulihan berperingkat.
” Bantuan lori-lori tangki air terus digerakkan dan 12 Pusat Khidmat Setempat diaktifkan bagi menyalurkan bantuan kepada pengguna terjejas.
” Segala usaha diambil bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas” katanya dalam kenyataan akhbar di sini.
Sebarang maklumat lanjut mengenai status terkini boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman web www.syabas.com.my. – UTUSAN ONLINE











