WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyelar Megan Rapinoe yang kini sedang beraksi dalam Piala Dunia di Perancis sebagai ‘tidak menghormati’ negara selepas penyerang skuad bola sepak wanita Amerika Syarikat (AS) itu enggan melawat White House.
Dalam ‘perang mulut’ terbaru yang dilancarkan terhadap atlet atau selebriti, Trump mengkritik pemain paling berpengaruh dalam pasukan itu menerusi beberapa ciapan di Twitter.
“Megan tak sepatutnya menunjukkan sikap tidak menghormati negara, White House atau bendera kita, terutama selepas banyak yang telah kami dilakukan untuk dirinya dan pasukan. Berbanggalah dengan lencana yang kamu pakai,” tulis Trump.
Dalam masa sama, Trump turut menjemput skuad wanita AS ke White House sambil menegaskan “Saya adalah penyokong tegar mereka”.
Bagaimanapun katanya, Rapinoe perlulah terlebih dulu muncul juara dan menyelesaikan tugasnya sebelum banyak bercakap.
Dalam satu temu bual bersama sebuah stesen televisyen baru-baru ini, Rapinoe menolak idea untuk melawat White House.
Sudah menjadi satu tradisi di AS, atlet atau pasukan sukan akan dijemput ke White House setiap kali merangkul kejuaraan besar.
“Tidak, saya tidak akan ke White House,” kata Rapinoe sambil menegaskan perbezaan politik adalah sebab utama dia membuat keputusan itu.
AS yang turun sebagai juara bertahan, akan menentang tuan rumah, Perancis pada suku akhir, Jumaat ini. – AFP











