Harimau Selatan tetap bernafsu besar - Utusan Malaysia

Harimau Selatan tetap bernafsu besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kejayaan bersejarah dinobat sebagai juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut belum memuaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Skuad Harimau Selatan sebaliknya tetap bernafsu untuk memenangi baki empat perlawanan bagi memahat satu lagi sejarah iaitu mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim.

Semalam, JDT dinobat sebagai juara selepas mengalahkan Melaka United 2-1 dalam aksi di Stadium Hang Jebat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemenangan ke-14 daripada 18 perlawanan itu membolehkan anak-anak buah Benjamin Mora meninggalkan pencabar terdekat, Pahang dengan 16 mata.

“Sekarang kejuaraan sudan sah milik kami dan ia amat melegakan. Saya bangga dengan semua pemain.

“Kami tidak boleh melakukan semua ini tanpa mereka, begitu juga dengan seluruh kakitangan pasukan.

“Kami melakukan tugas yang baik bukan sahaja pada malam ini, malah sepanjang musim. Kami perlu teruskan momentum dan cuba menutup saingan dengan rekod tanpa kalah,” kata pengurus JDT, Luciano Figueroa.

Bagi kapten mereka, Harris Harun, pengalaman memenangi lima kejuaraan sebelum ini banyak membantu meningkatkan keyakinan pasukan untuk melakar kejayaan.

“Sukar dipercayai. Kadangkala kami tidak bermain baik tetapi malam ini kami memberi persembahan terbaik.

“Pengalaman merangkul lima kejuaraan sebelum ini amat penting. Pengharapan tinggi yang diletak kepada pasukan membuatkan pemain amat bersemangat untuk melakar kemenangan.

“Kemenangan ini juga membuktikan cita-cita besar kelab, dan setiap tahun kami akan cuba melakukan perkara yang sama. Walaupun telah mengesahkan gelaran, kami perlu mengekalkan mentaliti untuk terus memenangi perlawanan,” kata pemain Singapura itu.

Selain menjulang trofi Liga Super buat kali keenam, JDT juga muncul pasukan paling banyak merobek gawang lawan dengan 39 gol, dan paling sikit dibolosi – 15.

Harimau Selatan akan melengkapkan jadual perlawanan dengan menentang Perak (6 Julai), PJ City (10 Julai), Kuala Lumpur (14 Julai) dan Terengganu pada 21 Julai.

Sejurus tamat saingan liga, mereka akan cuba menghadiahkan musim terbaik buat penyokong dengan memburu Piala Malaysia.

Kedua-dua gol JDT semalam diperoleh pada babak pertama menerusi Muhd. Nazmi Faiz Mansor (minit ketujuh) dan Diogo Luis Santo (minit ke-27).

Gol saguhati Melaka United pula disumbangkan kapten mereka, Shukor Adan menerusi sepakan penalti pada minit ke-83. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini