Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee melahirkan rasa khuatirnya berhubung potensi pencabulan hak asasi manusia oleh tentera Myanmar dengan menggunakan taktik sekatan internet di negeri Rakhine dan Chin
Lee yang ditemubual wartawan portal al-Jazeera, Peter Dobbie ditanya mengenai situasi semasa di Rakhine, gangguan internet dan pendiriannya terhadap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.
Al-Jazeera: Apa yang kamu fikir tentera Myanmar sedang lakukan?
Lee: Kita hanya boleh meneka apa yang mereka sedang lakukan, tetapi jika dilihat daripada pengalaman lalu pada 2016 dan 2017, apabila mereka menjalankan operasi penghapusan etnik, kita tahu apa yang berlaku. Mereka mengusir kira-kira 800,000 etnik Rohingya ke Bangladesh.
Dan sekarang ini adalah kali pertama mereka mengisytiharkan gangguan internet. Perkara ini merisaukan saya dan saya fikir komuniti antarabangsa juga perlu bimbang.
Al-Jazeera: Adakah mereka bertindak sendiri atau mereka bertindak dengan kebenaran kerajaan?
Mereka bertindak sendiri, tetapi apabila melibatkan operasi penghapusan etnik atau isu keselamatan lain, kerajaan Myanmar tidak mempunyai kuasa terhadap tentera di bawah Perlembagaan sedia ada dan disebabkan itu, perlunya Perlembagaan sedia ada digubal semula.
Al-Jazeera: Berapa ramai yang masih tinggal di Rakhine dan menjadi mangsa, jika anda tahu?
Kita sememangnya tidak tahu jumlah sebenar etnik Rohingya yang masih tinggal di Rakhine dan kami percaya kira-kira 350,000 hingga 400,000 Rohingya masih menetap di negeri itu.
Tetapi operasi penghapusan etnik tidak disasarkan terhadap Rohingya kali ini. Ia disasarkan terhadap komuniti Buddha Rakhine, semua penduduk awam dan etnik minoriti lain di negeri Rakhine.
Al-Jazeera: Adakah kamu sudah sampaikan laporan ini kepada pihak berkuasa tentera yang bertanggungjawab di Myanmar dan jika sudah, apakah reaksi mereka?
Belum kerana mereka tidak mahu berjumpa dengan saya. Myanmar mahu saya digantikan, supaya mereka tidak perlu berjumpa dengan saya. Tetapi saya yakin mereka melihat dan mendengar apa yang saya katakan menerusi kenyataan media dan media sosial serta saluran lain. Saya tidak mempunyai saluran menerusi pintu belakang dengan tentera.
Al-Jazeera: Masyarakat di luar Myanmar mungkin berfikir, ‘Di mana Suu Kyi, mengapa kita tidak bercakap kepadanya? Mengapa mereka tidak bercakap kepada dunia luar tentang perkara ini?’
Saya juga mahu mengetahui sebabnya. Beliau telah menghadiri sidang kemuncak ASEAN tetapi beliau tidak bercakap mengenai isu di Rakhine apabila Rohingya diusir dan kini apabila melibatkan komuniti etnik di Rakhine, beliau tidak bercakap sepatah apa pun tentang perlindungan penduduk awam.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, penduduk awam telah dibunuh, mereka ditahan, mereka dibunuh dalam tahanan dan kanak-kanak turut dibunuh.
Kesemua mangsa adalah etnik Rakhine dan minoriti lain yang tinggal di negeri Rakhine. Beliau tidak bercakap tentang mereka langsung.
Al-Jazeera: Jika kamu mempunyai peluang untuk menyampaikan mesej kepada Suu Kyi sekarang, apakah mesej tersebut?
Saya mahu beliau untuk melihat apa yang berlaku di negeri Rakhine dengan matanya sendiri.
Al-Jazeera: Mengapa perkara ini masih berlaku di negeri Rakhine? Adakah mereka mahu menghapuskan semua orang? Adakah itu tujuan mereka?
Ya. Kita telah pun lihat pada 1990-an di utara dan timur Myanmar kempen seumpama itu dan kita telah menyaksikan pembunuhan beramai-ramai pada 2012, 2014, 2016, 2017 dan masih berlaku. Namun konflik kali ini tidak hanya difokuskan terhadap Rohingya, ia difokuskan terhadap etnik Rakhine yang merupakan penduduk majoriti di negeri Rakhine. Ini menggusarkan saya kerana tentera menyerang semua penduduk awam. – AGENSI










