TOKYO – Seorang bekas pelayan dan model Jepun mendedahkan dia membelanjakan kira-kira AS$280,000 (RM1.1 juta) bagi menjalani pembedahan kosmetik sejak 21 tahun lalu.
Lapor Oddity Central, Tsubaki Tomomi, 39, berbuat demikian selepas dia trauma dengan leteran ibunya yang mendakwa dia tidak cukup cantik semasa kecil.
Tomomi menjalani pembedahan plastik ketika berusia 18 tahun sejurus tamat pengajian sekolah tinggi.
Ketika berusia 20 tahun, Tomomi membetulkan giginya selain melakukan pembedahan membentuk mata dan implan payudara dan tidak berhenti sejak itu.
Tomomi mendakwa, pembedahan plastik yang dijalaninya adalah sebagai cara membuatnya kelihatan muda dan ‘ketagihan’ itu bermula daripada zaman kanak-kanak.
Ibunya selalu merungut mengenai wajahnya, memanggil Tomomi ‘hodoh’ di depan orang ramai menyebabkan dia mahu kelihatan lebih cantik.
Sejurus usianya melayakkan dia melakukan pembedahan plastik, dia mendakwa telah membelanjakan sebanyak AS$280,000 (RM1.1 juta) bagi tujuan itu.
Katanya, dia menjelaskan kesemua rawatan pemdedahan itu dengan wang simpanannya semasa bekerja sebagai seorang pelayan di Hokkaido.
Tomomi kini masih bekerja sebagai model dan aktif dalam Instagram, Twitter dan Facebook serta menulis blog. – AGENSI










