KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), hari ini mengesahkan telah menyerahkan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam menentukan status kelayakan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk bertanding merebut jawatan presiden di sebalik kelewatan menghantar borang pencalonan.
Bukan sahaja Khairy, status empat lagi calon turut diserahkan kepada PJS untuk ditentukan sama ada layak bertanding ataupun tidak selepas lewat menghantar borang pencalonan masing-masing pada 15 Jun lalu, sehari selepas tarikh tutup yang ditetapkan lebih awal.
Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin dalam satu kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan hari ini berkata, pihaknya telah menerima aduan serta bantahan terhadap lima pencalonan tersebut walaupun tidak mendedahkan identiti sebenar mereka.
Bagaimanapun, media telah melaporkan lebih awal bahawa, selain pencalonan Khairy bagi merebut jawatan presiden, empat lagi pencalonan adalah membabitkan Setiausaha Kehormat MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid dan Dr. Naharuddin Hashim bagi merebut jawatan naib presiden serta Dr Radha S Krishnan dan Ng Keng Chuan bagi jawatan timbalan presiden.
“MPM telah menerima bantahan rasmi ke atas lima pencalonan yang dihantar pada 15 Jun lalu bagi merebut jawatan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM yang dijadual berlangsung pada 29 Jun ini. Sebagai tambahan, pengadu yang membuat bantahan tersebut memohon satu penilaian semula dilakukan mengikut perlembagaan MPM.
“Sehubungan itu, MPM telah merujuk isu bantahan ini kepada Pesuruhjaya Sukan untuk dinilai dan diputuskan statusnya.
“Sebaik Pesuruhjaya Sukan sudah memperoleh keputusan, saya sebagai presiden yang akan melepaskan jawatan akan menyerahkan kepada ahli majlis untuk mengendalikan proses pemilihan serta melantik pengerusi sementara dan pemantau bebas bagi melancarkan perjalanan mesyuarat pemilihan,” kata Nasarudin.
Kenyataan Nasarudin itu dibuat sehari selepas Khairy mendesak MPM dan Pesuruhjaya Sukan menentukan dengan segera statusnya sama ada layak bertanding ataupun tidak jawatan presiden MPM berikutan masa semakin suntuk.
Jika gagal berbuat demikian kata Khairy, masalah mungkin timbul ketika atau selepas mesyuarat, Sabtu ini kerana kemenangan calon boleh terbatal sekiranya ia diteruskan tanpa penjelasan rasmi mengenai status calon-calon yang bertanding.
Sementara itu, pejabat PJS ketika dihubungi, hari ini menjelaskan tiada sebarang kenyataan dan sidang akhbar akan diadakan. Permintaan Utusan Malaysia untuk mendapat komen ditolak atas alasan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman baharu sahaja bersara dan belum ada pengganti, manakala timbalannya telah berpindah ke tempat lain. – UTUSAN ONLINE











