KUALA LUMPUR 26 Jun – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan bahawa Sungai Semenyih sedang mengalami pencemaran bau yang menjadi sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan telah dihentitugas.
Ekoran daripada insiden tersebut, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) menjelaskan beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang di Selangor dijangka terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah bermula pada pukul 9 malam ini.
Menurut LUAS, pihak Pengurusan Air Selangor mengesahkan kehadiran bau tersebut adalah sebanyak 5 ton sehingga pukul 6 petang tadi.
“LUAS turut mengambil sampel bagi mengenalpasti punca bau tersebut. Berdasarkan siasatan, punca bau telah dikenal pasti daripada sebuah kilang di kawasan sekitar Semenyih.
Sehingga kini, pihak LUAS dan juga beberapa agensi berusaha dan bekerjasama dalam menangani isu ini,” jelas agensi itu dalam kenyataan sebentar tadi.
LUAS memberitahu, perkembangan terkini mengenai masalah itu boleh didapati dalam laman web https://luas.gov.my/v3/my/ atau Facebook di carian Lembaga Urus Air Selangor.-UTUSAN ONLINE











