KUALA TERENGGANU – Jumlah Orang Asli di negeri ini yang disahkan positif Measles (campak) meningkat kepada 11 orang.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, kes terbaharu iaitu mangsa ke-11 merupakan seorang lelaki Orang Asli berusia 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu semalam kerana mempunyai sejarah melawat rakannya yang sakit di Kuala Koh, Gua Musang di Kelantan selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Daripada jumlah positif Measles itu, lapan merupakan lelaki manakala tiga lagi perempuan.
“Secara keseluruhan kita mencatatkan 14 kes Measles dengan 11 kes positif manakala dua lagi negatif dan satu kes masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd., seramai dua pesakit masing-masing berusia 26 tahun dan 29 tahun dibenarkan pulang semalam dan tiada sebarang pertambahan kes dalam tempoh itu.
“Mereka telah dihantar ke Kampung Sungai Berua oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan diberi vitamin A sebelum keluar wad. Kedua-dua kes tidak diberi vaksin kerana positif Measles,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, aktiviti survelan dan pengesanan kes secara aktif di perkampungan Orang Asli di Hulu Terengganu menemui seramai 15 lagi penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Berua sekali gus menjadikan jumlah saringan seramai 477 orang.
“Bagaimanapun hasil pengesanan yang dilakukan tidak menemui mana-mana Orang Asli yang mempunyai tanda dan gejala sakit,” katanya. – UTUSAN ONLINE











