PETALING JAYA: Pakatan Harapan yakin pengundi di Johor mampu menilai sendiri tindakan-tindakan mesra rakyat yang diambil oleh kerajaan PH sepanjang 22 bulan menjadi kerajaan sama ada di peringkat nasional atau negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan justeru berkata, manifesto PH yang dikatakan gagal sebenarnya hanyalah dakyah pembangkang ketika itu iaitu UMNO dan Pas.
Beliau berkata, banyak perkara yang diambil PH dalam tempoh 22 bulan itu dan ia menunjukkan betapa jauhnya pemikiran pakatan itu untuk membantu rakyat berbanding pemerintahan 60 tahun Barisan Nasional (BN) sebelumnya.
“Cuba lihat zaman UMNO, BN memerintah, bayaran tol tak pernah turun melainkan naik saja tetapi PH dapat turunkan walau tak banyak dan menjimatkan sekurang-kurangnya 18 peratus kepada pengguna dan itu beri kelebihan.
“Selain itu, dalam keadaan tak capai manifesto (sepenuhnya), kita dapat turunkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dari 61 peratus kepada 51 peratus dalam tempoh 22 bulan, itu satu kejayaan besar dan jangan lihat kononnya tak tercapai,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang diambil PH dalam menghadapi PRN Johor selepas isu manifesto PH 22 bulan yang tidak ditunaikan, sekaligus menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap parti itu berada pada tahap yang rendah.
Menurut Aminolhuda, PH di peringkat Johor sebelum ini juga berjaya menyelesaikan 10 tawaran dalam masa 100 hari seperti mana yang dijanjikan
“Jadi bagaimana boleh katakan yang kerajaan PH Johor gagal apabila kerajaan PH Johor berjaya dapat laksanakan umpamanya pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu, kad sihat Johor, kursus perkahwinan percuma, skim Kuota Menegak Kerajaan (KMK) secara telus dan banyak lagi.
“Jadi perkara-perkara ini (manifesto PH 22 bulan gagal) adalah dakyah dari pembangkang masa itu iaitu UMNO dan Pas kononnya kita tak berjaya. Itu satu penipuan yang sangat memalukan kerana kami sudah berjaya melaksanakan tanggungjawab.
“Dalam tempoh 60 tahun (BN) perintah Johor, berapa ramai orang tak ada rumah dan berapa ramai anak muda tak ada pekerjaan yang sekarang lagi teruk (keadaannya), jadi (boleh lihat) bagaimana betapa jauhnya pemikiran kita untuk bantu rakyat,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










