GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di sekitar Pos Bihai dan Pos Balar di sini menemukan beberapa tapak kaki harimau belang, membuktikan haiwan buas tersebut masih lagi berkeliaran di situ.
Difahamkan, kesan tapak kaki harimau belang itu ditemukan di beberapa lokasi berbeza berhampiran Kampung Tendrik, Kampung Badak dan Kampung Remau sejak tiga hari lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya sudah menerima laporan penduduk berhubung penemuan tapak kaki tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pasukan Senoi Praaq bersama petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sedang memburu harimau terbabit setakat ini belum berjaya mengesannya.
“Seramai 14 anggota Senoi Praaq bersama Perhilitan Kelantan masih dalam operasi memburu harimau yang masih lagi bebas berkeliaran ini kerana berpotensi mengancam nyawa penduduk kampung.
“Saya nasihatkan penduduk Orang Asli di kawasan itu supaya berhati-hati dan sentiasa bergerak secara berkumpulan,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini semalam.
Terdahulu, Choon Foo menyampaikan sumbangan bekalan makanan kepada 300 penduduk Orang Asli di Pos Balar yang kini tidak dapat keluar mencari rezeki seperti biasa akibat ancaman harimau.
Bantuan itu diserahkan kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Faizul Abdullah untuk diagihkan kepada penerima.
Sementara itu, Faizul berkata, setakat ini, seramai 305 murid Orang Asli di SK Balar masih mengikuti persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak 10 Januari lalu.
“Seramai 23 guru SK Balar juga tidak dapat masuk ke Pos Balar untuk mengajar murid-murid di sana.
“Kita terpaksa mengirim modul latihan kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk dibawa masuk ke Pos Balar sebelum diserahkan kepada ibu bapa murid-murid tersebut,” katanya.
Pada 7 Januari lalu, seorang penduduk dari suku kaum Temiar, Anek Along, 59, ditemukan maut dipercayai dibaham seekor harimau belang ketika berada di belakang rumahnya di Kampung Sau, Pos Bihai. – UTUSAN











